MISANO, 15 September - Pelumba Ducati, Marc Marquez menebus kekecewaan selepas kecundang dalam perlumbaan sprint dengan menjuarai Grand Prix San Marino pada Ahad, sekali gus semakin hampir meraih gelaran juara dunia MotoGP.
Marquez, yang bermula di barisan kedua, berjaya memintas pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi pada pusingan ke-12 sebelum mengekalkan kedudukan hingga ke garisan penamat. Bezzecchi sebelum ini memenangi perlumbaan sprint selepas Marquez terbabas ketika mendahului.
Kemenangan ke-11 musim ini menyaksikan Marquez mengumpul 512 mata, rekod tertinggi dalam satu musim dan kini hanya memerlukan tiga mata mengatasi adiknya, Alex, di GP Jepun untuk mengesahkan gelaran ketujuh dalam kariernya.
Alex Marquez menamatkan saingan di tempat ketiga, jauh ketinggalan lebih enam saat, manakala Franco Morbidelli dan Fabio Di Giannantonio dari pasukan VR46 Racing masing-masing di kedudukan keempat dan kelima.
Perlumbaan menyaksikan Pedro Acosta (KTM) terpaksa berundur akibat rantai motosikal putus, sementara Francesco Bagnaia sekali lagi kecewa apabila terbabas dari kedudukan ketujuh, menjejaskan kedudukannya dalam senarai kejuaraan.
Bezzecchi cuba memberikan tentangan sehingga ke akhir namun gagal menyaingi kepantasan Marquez yang konsisten mengekalkan rentak.
Dalam saingan Moto2, pelumba tuan rumah Celestino Vietti (Beta Tools SpeedRS) menjuarai perlumbaan dengan menewaskan Barry Baltus (Fantic Racing Lino Sonego) dan Daniel Holgado (CFMOTO Inde Aspar Team).
Sementara itu, kategori Moto3 pula menyaksikan pendahulu kejuaraan, Jose Antonio Rueda (Red Bull KTM Ajo) muncul juara selepas memintas Maximo Quiles (CFMOTO Gaviota Aspar Team) di selekoh terakhir, manakala Adrian Fernandez (Leopard Racing) di tempat ketiga.-REUTERS