fb fb fb fb fb

Manchester United tersingkir Piala Liga, Grimsby Town catat kemenangan bersejarah

Foto Reuters

GRIMSBY, 28 Ogos- Manchester United tersingkir daripada saingan Piala Liga selepas dimalukan kelab divisyen empat, Grimsby Town menerusi penentuan sepakan penalti 12-11, selepas terikat 2-2 dalam aksi dramatik di Blundell Park, awal pagi tadi.

Gol Charles Vernam serta bekas pemain remaja United, Tyrell Warren meletakkan tuan rumah di depan pada separuh masa pertama menentang bekas juara enam kali itu.

Perlawanan yang diganggu hujan lebat disusuli guruh dan kilat menyaksikan United kembali bangkit apabila Bryan Mbeumo meledak gol sulungnya bersama kelab baharu itu untuk merapatkan jurang.

Grimsby terus bertahan dengan penuh disiplin namun tandukan Harry Maguire pada minit ke-89 memaksa perlawanan diheret ke penentuan penalti.

Aksi sepakan penalti berlangsung penuh debaran selama 18 minit, dengan Matheus Cunha gagal menyempurnakan peluang menamatkan perlawanan untuk United apabila sepakannya diselamatkan penjaga gol lawan.

Detik dramatik berakhir apabila sepakan Mbeumo sekadar menggegar palang, sekali gus menghadiahkan kemenangan bersejarah buat Grimsby dan mengundang sorakan padu penyokong tuan rumah. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM