NEW YORK, 28 Ogos- Novak Djokovic mara ke pusingan ketiga Terbuka Amerika Syarikat selepas menewaskan pemain muda, Zachary Svajda, 6-7(5), 6-3, 6-3, 6-1 pada aksi awal pagi tadi.
Bagaimanapun, juara Grand Slam 24 kali itu mengakui masih tercari-cari rentak terbaiknya.
Djokovic tewas pada set pertama sebelum bangkit mencatat kemenangan.
Namun, reaksi selepas perlawanan memperlihatkan beliau lebih banyak bergelut dengan permainan sendiri berbanding meraikan langkah ke hadapan dalam misi memburu gelaran kelimanya pada Terbuka AS.
"Saya sebenarnya tidak berpuas hati dengan tahap permainan tenis saya, tetapi, biasalah, ada hari-hari tertentu di mana anda tidak bermain pada tahap terbaik. Namun, anda tetap perlu cari jalan. Saya tak mahu terlalu falsafah mengenainya, tetapi saya masih suka perasaan berada dalam pertandingan, dorongan yang saya rasa di gelanggang.
Saya sering terlalu keras pada diri sendiri kerana saya menjangkakan untuk sentiasa bermain di tahap tertinggi, walaupun itu jelas bukan sesuatu yang selalu boleh berlaku. Tetapi, saya masih ada keinginan untuk bersaing dengan pemain muda, kalau tidak, saya tentu tidak akan berada di sini bermain," kata Djokovic dalam sidang media selepas perlawanan.
Pemain pilihan ketujuh itu akan berdepan wakil Britain, Cameron Norrie pada pusingan ketiga.
Djokovic yang digelar ‘maestro’ gelanggang Arthur Ashe, meraikan kemenangannya yang ke-92 di Terbuka AS sekali gus mengekalkan momentum cemerlang dalam memburu gelaran Grand Slam ke-25 beliau.
Sementara itu, Svajda yang hanya beraksi dalam penampilan ketujuh saingan utama Grand Slam, memberikan tentangan hebat sebelum mengalami kecederaan kaki yang menjejaskan pergerakannya. -REUTERS