KUALA LUMPUR, 28 Ogos- Lapan beregu negara berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Dunia di Paris, Perancis.
Aksi yang berlangsung di Adidas Arena hari ini bakal menyaksikan beregu wanita harapan, Pearly Tan-M.Thinaah menjadi wakil tunggal negara, bakal berdepan lawan dari Indonesia, Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti.
Bagi kategori beregu campuran, Hoo Pang Rong-Chen Su Yin dijadual akan membuat perhitungan dengan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai.
Sementara itu, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei bakal berdepan cabaran Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dari Indonesia.
Dalam pada itu, bagi kategori beregu lelaki, pilihan ke-7 kejohanan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dijadual menentang pasangan dari England, Ben Lane-Sean Vendy.
Pasangan Arif Junaidi-Yap Roy King akan menentang gandingan 'senior' yang juga bekas juara dunia iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali gus mengesahkan satu tiket pusingan suku akhir menjadi milik Malaysia.
Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani pula akan menentang wakil Chinese Taipei, Lee Jhe Huei-Yang Po-Hsuan.
Dalam perkembangan sama, perseorangan wanita, K. Letshanaa dan perseorangan lelaki, Leong Jun Hao terpaksa akur menamatkan saingan di pusingan kedua.
K. Letshanaa tewas kepada pemain berpengalaman dari India, PV Sindhu 19-21 dan 15-21 manakala Jun Hao kalah kepada Kenta Nishimoto dari Jepun, 21-17, 13-21 dan 23-25.
Turut menimpa nasib sama, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing apabila tewas kepada wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva, 11-21 dan 9-21.
Terdahulu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pernah merangkul gelaran juara di Kejohanan Dunia edisi Tokyo 2022 sekali gus menamatkan penantian 45 tahun negara pada kejohanan berprestij itu.