CHERAS, 28 Ogos - Kuala Lumpur (KL) City FC merampas kedudukan teratas Liga Super selepas mengekalkan rekod tanpa kalah dengan menundukkan PDRM FC, 3-1, pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.
Pemain sayap, Muhammad Safawi Rasid meledak gol pembukaan pada minit ke-25 bagi meletakkan skuad bimbingan Risto Vidakovic di depan sehingga tamat babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Paulo Josue menggandakan kedudukan pada minit ke-53 sebelum Nicolao Dumitru menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-77.
PDRM hanya mampu meraih gol sagu hati menerusi jaringan Kyaw Min Oo pada minit ke-90.
Kemenangan itu menyaksikan KL City mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan, manakala juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di tempat kedua dengan sembilan mata selepas tiga perlawanan.