fb fb fb fb fb

Kinoshi bangga Selangor FC berjaya bangkit dengan perubahan positif

Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, berbangga dengan aksi pemainnya yang berjaya mempamerkan transisi positif selepas kekalahan besar kepada Negeri Sembilan sebelum ini / Foto RTM

PETALING JAYA, 28 Ogos - Selangor FC kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Terengganu FC 5-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, pada Rabu.

Beraksi di laman sendiri, skuad Gergasi Merah bimbingan Katsuhito Kinoshi tidak menunggu lama apabila mendahului 4-0 pada babak pertama, termasuk hatrik penyerang import Brazil, Chrigor Moraes pada minit ke-17, 36 dan masa tambahan. Satu lagi gol dijaringkan Alvin Fortes pada minit ke-25.

Terengganu yang turun dengan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan, bangkit pada separuh masa kedua menerusi sepakan penalti Gabriel Silva dan jaringan Junior Ngong Sam.

Bagaimanapun, Selangor menutup perlawanan dengan gol kelima pada masa kecederaan menerusi penyerang gantian Muhammad Aliff Izwan Yuslan untuk memastikan tiga mata penuh.

Kemenangan itu menyaksikan Selangor naik ke tangga keempat liga dengan enam mata, satu mata di belakang Terengganu yang menghuni tempat ketiga.

Sementara itu, Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, berbangga dengan aksi pemainnya yang berjaya mempamerkan transisi positif selepas kekalahan besar kepada Negeri Sembilan sebelum ini.

"Saya sangat berbangga dengan pemain-pemain saya kerana mereka berjaya mendapatkan transisi yang baik selepas kekalahan teruk menentang Negeri Sembilan. Tetapi dalam tempoh sebulan ini, hanya ada dua hari sahaja, jadi mereka bekerja keras, benar-benar berusaha untuk melakukan transisi itu, dan akhirnya berjaya meraih kemenangan. Jadi, saya sangat berbangga dengan pemain-pemain saya," katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Super antara Selangor FC dan Terengganu FC.

2808 SKN LIGA SUPER TRG LWN SELANGOR SIDANG MEDIA 02Ketua Jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali / Foto RTM

Dalam pada itu, Ketua Jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali, meluahkan kekecewaan terhadap persembahan anak buahnya yang pada awalnya beraksi dengan penuh keyakinan, namun akhirnya dibolosi lima gol akibat beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Pemain-pemain terlalu banyak melakukan kesilapan mudah, khususnya dari segi komunikasi di bahagian benteng pertahanan. Selain itu, sikap hanya melihat bola tanpa membuat tindakan (ball watching) turut menyebabkan kami dibolosi empat gol mudah. Jadi, kami perlu menilai semula kesilapan ini dan saya berharap perkara sama tidak berulang pada perlawanan akan datang,” jelasnya.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE