fb fb fb fb fb

Liga Super: Selangor FC menang 5-2 di Stadium MBPJ

Pemain Selangor FC, Chrigor Moraes (tengah) ketika menjaringkan gol pada perlawanan Liga Super menentang TFC di Stadium MBPJ hari ini / Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 27 Ogos - Selangor FC berjaya meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Terengganu FC (TFC) dengan keputusan 5-2 dalam aksi Liga Super hari ini.

Kemenangan itu membolehkan Selangor FC mengumpul enam mata selepas empat perlawanan berlangsung.

Kini skuad kendalian jurulatih Katsuhito Kinoshi berada di kedudukan keempat, kurang empat mata daripada pendahulu Kuala Lumpur (KL) City FC.

Dalam saingan yang berlangsung di Stadium MBPJ menyaksikan Penyerang kelahiran Brazil, Chrigor Moraes berjaya melakukan hatrik untuk Selangor FC pada minit ke-17, ke-36 dan pada masa tambahan separuh masa pertama.

Baki dua lagi gol Selangor FC diperoleh hasil jaringan Alvin Fortes pada minit ke-24 dan Izwan Yuslan pada minit ke-96.

Sementara itu, dua gol TFC dijaringkan oleh Gabriel Silva menerusi sepakan penalti minit ke-69 dan Junior Ngong Sam pada minit ke-82.

Keputusan tersebut menyaksikan TFC kini berada di kedudukan ketiga liga dengan tujuh mata selepas empat perlawanan berlangsung.

ZAZALI JAMIAN