LONDON 2 Sept- Manchester United tekad memperkukuhkan pasukan apabila mengikat kontrak penjaga gol Antwerp, Senne Lammens bayaran bernilai 21 juta euro.
Pemain berusia 23 tahun itu menandatangani perjanjian sehingga 2030 bersama skuad The Red Devils.
Pasukan kendalian Ruben Amorim telah merombak barisan hadapan mereka, menandatangani Matheus Cunha, Bryan Mbeumo dan Benjamin Sesko dengan nilai keseluruhan berjumlah sekitar £200 juta.
Amorim juga berminat untuk meningkatkan prestasi penjaga gol United selepas permulaan buruk musim ini oleh Andre Onana dan Altay Bayindir.
Pelbagai pilihan dilaporkan dipertimbangkan, termasuk Emiliano Martinez dari Aston Villa, sebelum perjanjian dilakukan untuk Lammens
"Saya amat berbangga untuk menyertai Manchester United, ia adalah impian sebenar yang menjadi kenyataan.
“Ini destinasi yang luar biasa dan diharapkan permulaan sesuatu yang istimewa.
"Anda boleh merasakan suasana positif dicipta di Olf Trafford dan saya tahu bahawa saya boleh memberi impak sebenar untuk United pada tahun-tahun akan datang," katanya.
Sementara itu, Pengarah Bola Sepak United, Jason Wilcox menyifatkan Senne sebagai penjaga gol muda yang cemerlang dan berpotensi besar.
"Kami gembira dia telah memilih untuk menyertai Manchester United selepas minat yang ketara daripada beberapa kelab lain," katanya.
Terdahulu, tiga bekas pemain United, Rasmus Hojlund telah menyertai Napoli secara pinjaman manakala Sancho menandatangani kontrak untuk Villa sehingga akhir musim ini.
Sementara Real Betis mengumumkan menandatangani pemain sayap antarabangsa Brazil, Antony dengan kontrak lima tahun. -AFP