LONDON, 11 Mei - Manchester City mengumumkan pada hari Selasa bahawa mereka telah mencapai persetujuan untuk menandatangani penjaring prolifik, Erling Haaland dari Borussia Dortmund.
Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu akan membayar yuran pelepasan berjumlah £60 juta.
"Manchester City boleh mengesahkan kami telah mencapai persetujuan secara prinsip dengan Borussia Dortmund untuk perpindahan penyerang Erling Haaland pada 1 Julai 2022," kata kelab itu dalam satu kenyataan.
"Perpindahan tetap tertakluk pada syarat yang bakal dimuktamadkan oleh kelab dengan pemain itu," tambahnya.
(Erling Braut Haaland/AFP)
Perjanjian untuk pemain berusia 21 tahun itu menamatkan pencarian City untuk penyerang elit bagi menggantikan penjaring terbanyak Sergio Aguero berpindah ke Barcelona tahun lalu.
Haaland yang menyertai Dortmund dari RB Salzburg pada Januari 2020, menjaringkan 85 gol dalam 88 penampilan untuk pasukan Jerman itu. -AFP