fb fb fb fb fb

Malucelli takluk Langkawi

Malucelli mengungguli peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 di Langkawi. Foto LTdL 2025

LANGKAWI, 28 September - Pelumba XDS Astana Team, Matteo Malucelli mengungguli peringkat pertama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 di sini.

Pada saingan sejauh 96.5 kilometer mengelilingi daerah itu, pelumba kelahiran Itali berkenaan menamatkan saingan dalam kelompok besar di kedudukan pertama dengan catatan 2:00:22 saat.

Kemenangan turut membolehkan pelumba berusia 31 tersebut menyarung jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan dan jersi oren untuk Raja Pecut.

Tempat kedua diperoleh Erlend Blikra yang mewakili pasukan Uno-X Mobility sementara podium ketiga menjadi milik Arvid de Kleijn daripada pasukan Tudor Pro Cycling Team.

Peringkat pertama perlumbaan turut menyaksikan jaguh pecut Terengganu Cycling Team (TSG), Harrif Salleh menduduki tempat kesembilan.

Rakan sepasukannya, Nur Aiman Rosli pula merangkul jersi putih selaku Pelumba Terbaik Asia serta Pelumba terbaik ASEAN selepas mengumpul tujuh mata.

Jersi polka dot selaku Raja Bukit menjadi milik Ben Carmen daripada pasukan St George Continental Cycling Team.

Perlumbaan peringkat kedua esok akan bermula dari Padang Besar, Perlis hingga Kepala Batas, Pulau Pinang membabitkan jarak keseluruhan 166.1 kilometer.

JALALUDDIN BIN BAHARIN