fb fb fb fb fb

MALGA hidupkan semula Golf for Girls, lahirkan bintang masa depan

KUALA LUMPUR, 27 September – Program pembangunan bakat golf wanita tanah air, Golf for Girls (GFG), kembali semula tahun ini selepas hampir dua dekad menjadi platform melahirkan pemain muda berbakat.

Edisi 2025 anjuran Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) itu disertai 30 murid perempuan berusia 8 hingga 11 tahun dari Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala (SKSP), dengan latihan berlangsung selama enam hujung minggu bermula September hingga Oktober.

Presiden MALGA, Tunku Puteri Jawahir menegaskan GFG bukan sekadar program sukan, tetapi juga medan membentuk keyakinan diri dan sahsiah generasi muda.

“Golf for Girls sentiasa lebih daripada sekadar sukan. Ia tentang keyakinan, sahsiah dan komuniti.

"Kami teruja melihat anak-anak muda ini mengambil langkah pertama dalam golf dan siapa tahu, mungkin menjadi juara Malaysia suatu hari nanti,” katanya dalam kenyataan.

Program berkenaan dimulakan di kawasan sekolah menggunakan alat bantuan latihan CGI bagi asas putting dan chipping.

Peserta kemudiannya akan menjalani sesi lebih tersusun di kemudahan kelab golf, sebelum menamatkan latihan dengan pengalaman bermain tiga lubang di padang golf sebenar.

Tenaga pengajar terdiri daripada jurulatih Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGAM) serta jurulatih kebangsaan R&A Community Golf Instructor (CGI).

Sejak dilancarkan pada 2006 dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), GFG telah melahirkan beberapa pemain profesional negara antaranya Kelly Tan, Aretha Pan, Dianne Luke, Durriyah Damian, Michelle Koh dan Mirabel Ting.

Program tahun ini dijalankan melalui dana Kursus Latihan Asas Sukan (KLAS) Golf di bawah Dana Sukan Komuniti KBS, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, SKSP, PPGS, MGA, PGAM serta sebuah kelab golf rakan penganjur.

MALGA optimis penganjuran semula GFG akan membuka jalan kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya di seluruh negara, sekali gus memastikan sukan golf Malaysia terus subur dari peringkat akar umbi.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD