LONDON, 27 September - kelab gergasi Inggeris, Manchester United terus dirundung malang apabila tewas 3-1 kepada Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Sabtu.
Kekalahan berkenaan sekali gus menambah tekanan terhadap pengurus Ruben Amorim.
Dua jaringan pantas Igor Thiago dalam 20 minit separuh masa pertama mendedahkan kelemahan pertahanan United, sebelum Benjamin Sesko merapatkan kedudukan pada minit ke-26 menerusi gol pertamanya bersama kelab itu.
Peluang terbaik United untuk bangkit gagal selepas sepakan penalti ketua pasukan Bruno Fernandes berjaya diselamatkan Caoimhin Kelleher pada minit ke-75.
Mathias Jensen kemudian menutup sisa-sisa perjuangan United dengan jaringan pada masa kecederaan bagi membolehkan Brentford memungut tiga mata penuh.
“Kami tidak mengawal permainan. Bola pertama, bola kedua, sepakan penjuru semua detik penting menentang kami.
"Kami tahu bola jauh akan datang dan dari satu sentuhan mereka dapat peluang. Kami perlu lebih baik,” kata Amorim selepas perlawanan.
Kekalahan tersebut menyaksikan United hanya menang dua daripada enam perlawanan liga musim ini dan kini berada di tangga ke-13.
Amorim, yang mengambil alih tugas daripada Erik ten Hag November lalu, semakin tertekan selepas turut tewas kepada Manchester City (0-3) serta disingkirkan Grimsby Town dalam Piala Liga.
United wajib menang pada perlawanan menentang Sunderland di Old Trafford hujung minggu depan sebelum berdepan ujian getir menentang juara bertahan, Liverpool. - AFP.
