fb fb fb fb fb

Selangor kekal juara Piala Sultan Selangor 2025

Pemain pilihan Selangor, Chrigor Morae (dua kanan) meraikan jaringan kemenangan ketika menentang pasukan pilihan Singapura pada perlawanan Piala Sultan Selangor 2025 yang berlangsung di Stadium Merdeka malam tadi / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 September- Pasukan Pilihan Selangor mengekalkan dominasi apabila muncul juara Piala Sultan Selangor (TSSC) 2025 buat kali keempat berturut-turut selepas menewaskan Pilihan Singapura 2-1 di Stadium Merdeka, malam tadi.

Kemenangan itu menambah rekod kejuaraan Gergasi Merah kepada 12 kali sejak kejohanan mula dianjurkan pada 2001.

Gol pembukaan Selangor hadir seawal minit ke-20 menerusi hantaran Mohamad Faisal Abdul Halim yang disempurnakan Harry Danish untuk menewaskan penjaga gol lawan, Hassan Sunny.

Singapura bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-40 melalui Takumi Yokohata, sekali gus mengikat kedudukan 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Detik penentuan hadir pada masa kecederaan apabila pemain gantian, Chrigor Moraes, tenang menyempurnakan sepakan penalti bagi memastikan trofi kekal milik Selangor.

Jurulatih interim Selangor FC, Christophe Gamel menyifatkan, kejayaan itu hasil komitmen pemain muda yang cepat menyesuaikan diri dengan taktikal baharu.

“Saya bawa 10 pemain bawah 23 tahun. Walaupun hanya ada satu sesi latihan singkat, mereka cepat menyesuaikan diri dan saya gembira dengan persembahan mereka.

Separuh masa kedua memang lebih sukar sebab ramai pemain muda diturunkan, tapi falsafah saya jelas, mereka perlu main dengan positif. Paling penting, kami cipta lebih banyak peluang berbanding lawan, dan akhirnya menang,” katanya.

Dalam kategori veteran pula, pasukan Singapura berjaya menewaskan Selangor 4-3 menerusi penentuan penalti selepas terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa penuh.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan perlawanan serta menyampaikan trofi kepada pemenang.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN