fb fb fb fb fb

Josue wira KL City tundukkan Terengganu

Paulo Josue, Pemain KL City FC / Foto Malaysian Football League

KUALA LUMPUR, 28 September- Paulo Josue muncul wira KL City FC selepas menjaringkan gol tunggal menewaskan Terengganu FC (TFC) 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.

Kemenangan itu mengekalkan rekod tanpa kalah skuad kendalian Risto Vidakovic kepada enam perlawanan.

Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan di tangga kedua liga, hanya dua mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Aksi menarik tersaji seawal minit ke-24 apabila percubaan Nicolao Cardoso sekadar menggegarkan tiang gol TFC.

Perlawanan turut terhenti seketika akibat cuaca buruk, sebelum TFC gagal memanfaatkan peluang keemasan selepas sepakan penalti Careca ditepis kemas penjaga gol Quincy Kaammeraad.

Bersambung babak kedua, Quincy sekali lagi bertindak cemerlang menafikan percubaan jarak dekat Azam Azmi Murad pada minit ke-52.

Dalam keadaan padang licin akibat hujan, kedua-dua pasukan terus bergelut mencari sentuhan penyudah.

Namun, KL City akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-78.

Josue yang dijatuhkan dalam kotak penalti, tenang menyempurnakan sepakan untuk memastikan tiga mata berharga buat tuan rumah.

Selepas ini, KL City akan berkunjung ke Melaka, manakala TFC akan melayan Kelantan The Real Warriors (TRW) dalam aksi ‘Derbi Pantai Timur’.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN