fb fb fb fb fb

TMJ persoal keputusan FIFA hukum tujuh pemain warisan Harimau Malaya

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 September – Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mempersoalkan tindakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan hukuman ke atas tujuh pemain warisan Harimau Malaya dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), meskipun proses rayuan masih belum selesai.

Tunku Mahkota Ismail menerusi hantaran di X menegaskan FAM telah mematuhi semua prosedur yang ditetapkan, termasuk kerjasama bersama FIFA dan Kerajaan Malaysia.

“FAM dah ikut proses dan kerjasama dengan FIFA serta Kerajaan Malaysia. FIFA pun dah luluskan sebelum ini tetapi kenapa keputusan bertukar sekarang?

"Apa yang berlaku sampai tiba-tiba ada keputusan macam ini? Adakah ada entiti luar yang terlibat mempengaruhi keputusan FIFA?” titah baginda.

Baginda turut mempersoalkan tindakan FIFA yang didakwa terburu-buru mendedahkan keputusan itu kepada umum, meskipun proses rayuan masih berjalan.

“Lagi satu persoalan, hukuman telah dijatuhkan tanpa memberi sebab-sebab keputusan. Tambahan lagi, FIFA cepat untuk mengeluarkan keputusan tersebut dalam public domain walaupun proses rayuan belum selesai. Who was in New York? Saya berharap FAM akan membuat rayuan secepat mungkin,” titahnya.

Dalam hantaran sama, Tunku Mahkota Ismail turut berkongsi salinan surat pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkaitan status kewarganegaraan pemain-pemain terbabit.

“Ini adalah surat pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara. Takkan kita takut dan nak tunduk dengan individu-individu yang khuatir dengan kebangkitan Harimau Malaya.

"Lawan tetap lawan. Berani kerana benar,” tegas baginda.

Semalam, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengumumkan FAM dan tujuh pemain tersebut bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA mendakwa FAM menyerahkan dokumen dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Ekoran itu, FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD