KUANTAN, 25 September- Skuad futsal negara berjaya menempah tiket ke Piala Asia Futsal 2026 di Indonesia, Januari depan selepas menamatkan kempen Kumpulan G kelayakan dengan dua kemenangan dan satu kekalahan.
Bimbingan jurulatih Thailand, Rakphol Sainetngam, skuad negara bermula cemerlang dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Sabtu lalu hasil jaringan tunggal Awaluddin Mat Nawi sebelum berpesta gol 7-1 menundukkan Bangladesh pada Isnin.
Namun, rentak kemenangan terhenti apabila Malaysia tunduk 0-4 kepada pasukan pilihan, Iran, yang kini menghuni ranking kelima dunia pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Tertutup SUKPA, Rabu lalu.
Malaysia menamatkan saingan di tangga kedua kumpulan, sekali gus muncul antara tujuh naib juara terbaik yang layak bersama lapan juara kumpulan serta tuan rumah, Indonesia.
Kejayaan itu turut disumbang oleh persiapan intensif lebih tiga minggu termasuk latihan di Bangkok, selain sokongan padu penyokong yang membanjiri SUKPA sepanjang kelayakan.
Undian rasmi Piala Asia Futsal 2026 dijadual berlangsung pada 5 November depan bagi menentukan kedudukan 16 pasukan ke dalam empat kumpulan.
