KUANTAN, 25 September- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjunjung kasih kepada Yang Amat Mulia Tengku Fahad Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah serta pihak Pahang Rangers FC atas sokongan padu yang diberikan kepada skuad futsal Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan G, Kelayakan Piala Asia Futsal 2026.
Pusingan kelayakan yang berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan dari 20 hingga 24 September menyaksikan Malaysia berjaya melayakkan diri ke Piala Asia 2026 di Indonesia pada Januari depan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menzahirkan penghargaan kepada Tengku Fahad, yang juga Presiden Pahang Rangers FC merangkap Ahli Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM, atas peranan besar dalam menjayakan penganjuran kejohanan berprestij tersebut.
“Bagi pihak Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dan warga sekretariat FAM, patik menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah serta Tengku Fahad kerana penganjuran Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 di SUKPA dapat berlangsung dengan jayanya.
“Kejayaan ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa kerjasama erat daripada pihak Pahang Rangers FC yang diterajui sendiri oleh Yang Amat Mulia,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, penganjuran kelayakan tersebut membuktikan kemampuan Malaysia, khususnya Pahang, menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa selain meningkatkan sokongan masyarakat terhadap arena futsal tempatan.
“Seperti mana yang ditegaskan Tengku Fahad, kejayaan ini juga memperkukuhkan status SUKPA sebagai antara venue futsal terulung sekali gus mengetengahkan Kuantan sebagai hab sukan,” tambah kenyataan itu.
