SHAH ALAM , 26 September - Pasangan muda Isyraf Widad Muhammad Ikmal Opat dan Muhammad Adib Ibrahim dari Widad Skycore (M) Sdn Bhd muncul juara kebangsaan edisi sulung Cabaran Golf Korporat Dunia Malaysia (WCGC) yang berlangsung di Kelab Golf & Country Kota Permai, Selangor, pada Khamis.
Gandingan itu mengumpul 42 mata Stableford, sekali gus menewaskan 19 pasangan lain.
Kemenangan berkenaan melayakkan mereka ke WCGC Dunia Akhir 2025 di Kelab Golf Pantai Dongzhuang, Shanghai, China, dari 19 hingga 23 Oktober depan.
“Kami agak terkejut dengan kemenangan ini kerana saingannya sangat sengit.
"Strategi kami ialah bersaing antara satu sama lain untuk meningkatkan momentum, dan ia ternyata berhasil. Kami teruja untuk membawa cabaran negara di Shanghai,” kata mereka yang sebelum ini menamatkan saingan kelayakan kebangsaan di tempat ketiga.
Turut menempah tiket ke Shanghai ialah Anushka Gayan dan Lee Robert dari Leonian Malaysia yang menamatkan saingan di tempat kedua, manakala tempat ketiga dimenangi pasangan Selvan Subramaniam dan Sasikumar Subramaniam dari Cyberlan Integral Sdn Bhd dengan catatan sama, 42 mata Stableford.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku penaung WCGC Malaysia.
Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap semangat para peserta dan menyifatkan penganjuran edisi pertama kejohanan itu sebagai satu kejayaan besar.
