fb fb fb fb fb

Malaysia sasar sapu bersih emas Kejohanan Dodgeball Dunia

(Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk V. Radhakrishnan)

PUTRAJAYA, 18 Ogos- Malaysia bertekad merampas kembali pingat emas pada Kejohanan Dodgeball Dunia 2022 yang dijadual berlangsung di Edmonton, Kanada, dari 28 Ogos hingga 4 September ini.

Ia bagi mengubat kekecewaan penyertaan edisi 2019 di Cancun, Mexico yang menyaksikan skuad lelaki dan wanita pulang dengan pingat perak selepas tewas kepada Amerika Syarikat.

Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (MAD), Datuk V. Radhakrishnan berkata, skuad negara menyasarkan tiga pingat emas bagi edisi kali ini termasuk bagi kategori berpasukan campuran.

Katanya, harapan itu diletakkan berdasarkan prestasi cemerlang yang ditonjolkan pemain lelaki, wanita dan pasukan campuran sepanjang sesi latihan menjelang kejohanan itu.

"Tetapi sudah semestinya cabaran itu akan datang dari Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat seperti sebelum ini.

(Malaysia  meletakkan sasaran untuk menyapu bersih tiga kejuaraan pada Kejohanan Dodgeball Dunia 2022)

"Namun, saya yakin dengan kebolehan dan tahap kecergasan pemain sedia ada,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia dan Suklan, Datuk Seri Ti Lian Ker, di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini.
 
Malaysia muncul juara kategori lelaki dan wanita pada edisi 2017 di Toronto, Kanada, diikuti pencapaian skuad lelaki mengulangi kejayaan sama pada edisi 2018 di Los Angeles,Amerika Syarikat, sebelum kedua-dua pasukan masing-masing meraih pingat perak pada edisi berikutnya di Cancun, Mexico, pada 2019.

Sementara itu kapten berpasukan campuran, Sean Lim Zhenxun optimis mampu mara sekurang-kurangnya ke final kejohanan.

Jelas beliau, sasaran emas diletakkan bukan satu bebanan, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk melakukan yang terbaik di Edmonton.

"Matlamat pasti berada pada peringkat akhir, setiap tahun penanda aras sentiasa berada di akhir, jadi mengambil semula emas akan menjadi sasaran utama untuk kita, pastinya," katanya.

Media Baharu