fb fb fb fb fb

Kedah, Sabah terikat di Darul Aman

(Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila sekadar seri 1-1
pada aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Darul Aman/FOTO FB KDA FC)


ALOR SETAR, 18 Ogos- Kedah Darul Aman, KDA FC meraih satu mata berharga selepas mengikat pasukan tangga kedua liga, Sabah FC, satu sama dalam aksi di Stadium Darul
Aman, pada malam Rabu.

Keputusan itu membolehkan Kedah naik dua anak tangga ke kedudukan keenam liga.

Beraksi di hadapan kira-kira 5,000 penyokong setia Hijau Kuning, Kedah tampil dengan aksi lebih bertenaga dan permainan lebih tersusun berbanding sebelum ini.

Hasilnya, Ronald Ngah Wanja berjaya menjaringkan gol pendahuluan menerusi tandukan seawal minit keenam.

Gol tersebut menyuntik semangat pemain Hijau Kuning dengan melancarkan serangan ke pintu gol pelawat.

(Penyerang Kedah Darul Aman FC, Ronald Ngah meraikan jaringan ketika aksi Liga Super menentang
Sabah FC di Stadium Darul Aman/FOTO FB KDA FC)


Sabah FC turut memiliki beberapa peluang menjaringkan gol, namun kekebalan benteng tuan rumah yang diterajui Marc Valles berjaya mematahkan setiap serangan pelawat yang diketuai Amri Yahyah dan Baddrol Bakhtiar.

Aksi babak kedua, Sabah FC mula mendominasi permainan dengan serangan bertali arus ke kubu tuan rumah.

Namun Ifwat Ikmal Chek Kassim utuh mempertahankan pintu golnya dari dibolosi.*

Ketika Kedah seakan selesa dengan satu gol untuk meraih kemenangan di laman sendiri, pemain gantian Sabah FC, Farhan Roslan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke 84.

Keputusan satu sama kekal hingga tamat perlawanan.


Media Baharu