fb fb fb fb fb

Pemilihan SNBJ gelanggang aksi akhir Piala FA demi sukan bola sepak negara- Ahmad Faizal

(Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) 

KUALA LUMPUR, 18 Ogos- Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dibenarkan untuk digunakan sebagai venue perlawanan akhir Piala FA membabitkan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 10 September depan.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan pemilihan venue tersebut dibuat berdasarkan kepentingan nasional dan demi sukan bola sepak negara.

Jelas beliau, pihaknya akan menangguhkan seketika proses penambahbaikan stadium tersebut bagi memberi laluan aksi Johor Darul Takzim (JDT) menentang Terengganu FC (TFC).

Katanya, walaupun SNBJ ditutup sebelum ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan, namun ia boleh digunakan untuk perlawanan akhir itu.

"Kami akan berusaha untuk memastikan kerja-kerja yang dijalankan, bukannya di padang tetapi seperti tandas dan sebagainya boleh dipercepatkan agar ia dapat digunakan untuk perlawanan akhir.

"Kita berkorban bagi memastikan perlawanan akhir dapat diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Pada masa sama, saya ingin tegaskan bahawa stadium sememangnya perlu diperbaiki dan jika ada kekurangan, janganlah dikecam.

"Kami meletakkan kepentingan nasional daripada segala-galanya. Selepas itu (perlawanan akhir), akan kembali berusaha untuk memulihkan stadium dan pastikan ia dapat digunakan untuk tempoh yang lama," katanya selepas menyempurnakan majlis detik 30 hari menjelang Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022.

Menurut Ahmad Fazal, wakil kedua-dua pasukan telah pun melihat keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil dan berpuashati untuk menggunakan venue berkenaan.

Katanya, keputusan untuk membuka SNBJ bagi perlawanan akhir itu selepas mendapat permohonan daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Pada Selasa, MFL mengumumkan SNBJ sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2022 selepas permohonan mereka untuk menggunakan stadium itu mendapat kelulusan daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).

(Ahmad Faizal bercakap kepada media selepas menyempurnakan majlis detik 30 hari menjelang
Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022)

Sebelum ini, PSM mengumumkan penutupan SNBJ daripada sebarang aktiviti bola sepak bagi kerja-kerja penyelenggaraan termasuk baik pulih padang.

SNBJ mula ditutup bermula 15 Jun lalu berikutan menerima kritikan selepas ditakungi air ketika aksi kelayakan Piala Asia 2023 membabitkan Malaysia dan Bahrain, Jun lalu.

Berita berkaitan
Stadium Nasional Bukit Jalil venue final Piala FA

 

Media Baharu