PUCHONG, 16 Julai - Ketika kebanyakan orang seusianya lebih selesa melakukan senaman ringan atau berehat bersama ahli keluarga, Kapten (B) A. Aziz Ahmad memilih sukan ekstrem untuk ‘menikmati’ kehidupan dengan menyertai Terjunan BASE Antarabangsa Genting Highlands 2025 dari ketinggian 6,106 kaki dari aras laut, dari 17 hingga 19 Oktober ini.
Presiden Kelab Ababil Base Jump yang akan mencapai usia 70 tahun pada 1 Oktober ini berkata beliau mahu terus hidup dengan keberanian kerana baginya usia hanyalah nombor dan hidup ini wajar dinikmati sepenuhnya.
“Saya mula terjun pada usia 19 tahun dan sebelum ini pernah berkhidmat dalam Pasukan Pertahanan Darat Tentera Udara (HANDAU), yang ditukarkan namanya kepada Pasukan Khas Udara (PKU) dan secara rasminya ditukarkan kepada Pasukan Khas TUDM (PASKAU).
“Sebab itu, saya ada rekod lebih 3,500 terjunan dan hanya catat sampai situ, selebihnya saya dah tak catat. Terjunan membuatkan saya rasa muda dan pasti ternanti-nanti untuk Genting Highlands ini sebab mencabar kerana terjunan atas awan,” katanya pada sidang media acara berkenaan di sini hari ini.
Mengimbau detik cemas sepanjang bergelar penerjun, A. Aziz berkata antara insiden paling diingati ialah ketika tubuhnya melanggar tiang struktur Menara Kuala Lumpur pada 2004, sewaktu melakukan terjunan BASE sehingga menyebabkan paha kirinya patah teruk dan terpaksa ditanam titanium kekal hingga kini.
Namun, semangatnya tidak pernah luntur meskipun sudah beberapa kali mengalami kecederaan serius.
“Saya fikir begini, kenapa patut berhenti? Ada orang tak ada kaki pun panjat Gunung Everest dengan kaki prostetik. Kalau kita yang sempurna, takkan tak boleh buat,” katanya, yang menyasarkan untuk melakukan sekurang-kurangnya dua kali terjunan setiap hari di Genting Highlands.
Sementara itu, seorang lagi penerjun negara Shamsudin Mohamed Amin, 42, yang berpengalaman selama 28 tahun dalam bidang itu berkata rasa takut ketika hendak terjun adalah normal bagi manusia.
Namun, perasaan itu dianggap sebagai kekuatan kerana ia menjadikan seseorang itu lebih fokus ketika melakukan terjunan kerana teknik terjunan adalah sama di mana-mana.
“Bagi saya, pengalaman di Genting Highlands ini akan jadi unik kerana atas gunung dan tanah tinggi, sebab biasa di tanah rata kedudukan dia normal sahaja.
“Saya sasar untuk terjun tiga kali sehari tapi ia bergantung pada keadaan juga, contohnya boleh lipat payung terjun seberapa cepat. Macam saya memang ada tiga payung terjun sendiri,” katanya.
Acara hasil kerjasama Hoverland Sdn Bhd dan Kelab Ababil Base Jump itu bakal menghimpunkan lebih 50 penerjun profesional dari seluruh dunia di Wyndham Grand lon Majestic Hotel, Genting Highlands.
Bagi menjamin keselamatan peserta, pihak penganjur telah menjalankan latihan percubaan pada 5 dan 6 Julai lepas, melibatkan lapan penerjun profesional.
Selain itu, beberapa langkah keselamatan dirangka termasuk penempatan pasukan perubatan, ambulans serta penglibatan rasmi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Terjun BASE adalah akronim bagi aktiviti sukan ekstrem kerana terjunan dilakukan berdasarkan empat kriteria itu Buildings (bangunan tinggi), Antenna (antena), Span (bridges-jambatan) dan Earth (permukaan bumi yang tinggi).- BERNAMA