fb fb fb fb fb

WUG 2025: Aura venue pertandingan lonjak semangat Fu Cern naik podium

Foto Bernama

ESSEN, 16 Julai - Atlet negara Fu Cern Put Thai tekad merealisasikan misi kem taekwondo untuk membawa pulang sebutir pingat, tanpa mengira warna, pada Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 di Rhine-Ruhr di sini.

Pemenang pingat perak Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024 yang membuat penampilan pertama di temasya dwitahunan itu berkata sasaran utamanya adalah untuk menaiki podium walaupun menyedari saingan sengit daripada jaguh sukan universiti dari seluruh dunia.

Berlatih di venue sebenar pertandingan di Messe Essen turut menyuntik semangat dan keyakinan atlet kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu yang kini lebih bersedia menukar impian podium menjadi realiti.

“Kali pertama datang ke sini saya sangat teruja dan bersemangat. Bila saya lihat venue dan berlatih di sini lagi teruja dan bersedia untuk beraksi. Suasananya sangat berbeza dengan temasya seperti Sukan SEA dan ini kali pertama saya bersaing di peringkat dunia.

“Persiapan yang saya buat agak lama, sebelum datang ke sini kami menjalani kem latihan pusat di Thailand selama dua minggu dan ia membuatkan saya lebih bersedia untuk berlawan,” kata penuntut Universiti Malaya (UM) itu di sini.

Fu Cern yang memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, akan memulakan saingan dalam kategori kyorugi bawah 58 kilogram (kg) lelaki pada Ahad ini (20 Julai) dan menjangkakan saingan hebat atlet Korea Selatan dan Thailand.

“Persaingan memang sengit tapi saya akan berikan yang terbaik untuk menang,” katanya juga pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kemboja 2023.

Acara taekwondo di WUG 2025 akan bermula esok.

Sementara itu, jurulatih negara Syed Taufiq Syed Abdul Hamid berkata kem taekwondo meletakkan sasaran minimum untuk membawa pulang satu pingat tanpa mengira warna pada temasya kali ini.

Beliau berkata skuad kali ini dibarisi pemenang emas Sukan SEA 2023 Muhammad Syafiq Zuber dan bintang muda poomsae Yow Mei Yee.

“Sasaran kali ini podium, tak boleh nak cakap emas, perak dan gangsa. Mungkin satu pingat dan kejutan boleh berlaku, dalam sukan tempur semua benda tak mustahil. Kedua-dua acara kyorugi dan poomsae ada peluang cerah,” katanya.

Kem taekwondo meraih pingat gangsa di WUG pada edisi Napoli 2019 di Itali menerusi acara kyorugi berpasukan lelaki, yang merupakan pingat tunggal kontinjen negara ketika itu.

Kontinjen negara dengan sasaran tujuh pingat pada edisi kali ini akan mengambil bahagian dalam enam daripada 19 sukan yang dipertandingkan iaitu gimnastik artistik, badminton, memanah, olahraga, renang dan taekwondo, melibatkan penyertaan 64 atlet.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH