fb fb fb fb fb

Lebih 50 penerjun profesional bakal sertai Genting Highlands International BASE Jump 2025

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Julai - Lebih 50 penerjun profesional dari seluruh dunia bakal menyertai Genting Highlands International BASE Jump 2025, acara sukan ekstrem bertaraf antarabangsa yang akan berlangsung bermula 17 hingga 19 Oktober ini di Wyndham Grand Ion Majestic Hotel, Genting Highlands.

Acara anjuran Hoverland Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kelab Ababil Base Jump ini bakal berlangsung pada ketinggian 6,106 kaki dari aras laut.

Bertemakan “Naturally Fearless”, acara ini diraikan sebagai simbol semangat luar biasa untuk menakluk ketinggian dan keberanian dalam menghadapi cabaran fizikal, mental dan emosi.

Presiden Kelab Ababil Base Jump, Kapten (B) A. Aziz Ahmad berkata keunikan acara kali ini adalah pengalaman menyaksikan matahari terbit dari langit Genting.

“Keunikan acara ini ialah peserta berpeluang melihat matahari terbit dari ketinggian lebih kurang 6,000 kaki. Selalunya kita lihat matahari terbit dari bawah, tapi kali ini kita lihat dari atas. Jadi kita akan mula sekitar jam 7 pagi, dan penerjun akan terjun ketika matahari terbit, itulah sunrise jump,” katanya.

Hoverland, lokasi rasmi acara ini, turut diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Dek Pemerhatian Tertinggi di Malaysia pada 29 April 2025, hanya beberapa minggu selepas pembukaannya pada Mei lalu.

Acara ini dijangka menjadi antara tarikan utama Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan menyasarkan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara, selain memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi sukan ekstrem dan pelancongan berinovasi.

Penganjuran kali ini turut menarik penyertaan penerjun dari Amerika Syarikat, Australia, Brazil, Jerman, Itali, Rusia, Singapura, Ireland dan banyak lagi, hasil rekod cemerlang Kelab Ababil menganjurkan acara seperti KL Tower Jump, Putrajaya BASE Jump dan Wisma Sanyan International BASE Jump di Sibu sebelum ini.

Penganjur turut mengambil langkah keselamatan menyeluruh termasuk penempatan pasukan perubatan, ambulans serta penglibatan rasmi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

AZRUL FAIZAL JUSOH