KUALA LUMPUR, 8 Oktober -Malaysia disaran merangka pelan tindakan (blueprint) jangka panjang bagi melahirkan pelumba berbasikal lebuh raya bertaraf antarabangsa, bagi mengurangkan dominasi pelumba luar dalam saingan seperti Le Tour de Langkawi (LTdL).
Penganalisis sukan, Mohd Sadek Mustaffa, berkata langkah itu penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan berbasikal tempatan, khususnya selepas hampir tiga dekad penganjuran LTdL.
"Kalau kita lihat di sukan berbasikal trek, Malaysia sudah mampu melahirkan pelumba bertaraf dunia. Jadi, untuk acara lebuh raya, usaha serupa perlu digerakkan secara lebih besar."
Beliau mencadangkan agar Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bekerjasama dengan kelab-kelab profesional tempatan dalam merangka pelan pembangunan menyeluruh bagi melahirkan lebih ramai pelumba berbakat.
"Kita juga mengharapkan satu blueprint baru perlu dibentuk bersifat jangka panjang iaitu lima hingga 15 tahun untuk melahirkan bakat-bakat besar dalam sukan berbasikal lebuh raya.
Kita tidak mahu dominasi pelumba-pelumba besar dari negara Eropah terus menguasai jersi-jersi utama dalam Le Tour De Langkawi (LTdL) katanya ketika mengulas kejayaan penganjuran LTdL edisi ke-29 baru-baru ini.
Menurut Sadek, meskipun beberapa pelumba tempatan seperti Muhammad Nur Aiman Rosli dari Terengganu Cycling Team (TSG) menunjukkan potensi besar, prestasi keseluruhan pelumba Malaysia masih belum setanding dengan pasukan profesional dari Eropah dan Asia.
"Dalam usia LTdL yang menjangkau 30 tahun, kita sepatutnya sudah mempunyai pelumba yang boleh menandingi pelumba profesional luar. Kita perlu memberi lebih banyak pendedahan dan peluang bersaing di peringkat antarabangsa," katanya.
Tambah beliau, Malaysia kini memiliki kemudahan latihan yang baik dan dengan pelan pembangunan komprehensif serta sokongan penajaan kukuh, negara mampu kembali mengukuhkan kedudukan dalam arena berbasikal lebuh raya.