fb fb fb fb fb

Conor McGregor digantung 18 bulan, gagal hadir ujian doping tiga kali

Conor McGregor/AFP

LOS ANGELES, 8 Oktober- Bintang seni bela diri campuran (MMA), Conor McGregor, 37 tahun, digantung selama 18 bulan selepas gagal menghadiri tiga ujian doping dalam tempoh setahun.

Hukuman itu dikeluarkan Combat Sports Anti-Doping (CSAD) dalam satu kenyataan terhadap petarung kelahiran Ireland yang juga bekas juara kategori featherweight dan lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC).

Menurut CSAD, McGregor antara atlet paling bernilai dalam UFC gagal menjalani tiga ujian pada 13 Jun, 19 September dan 20 September tahun lalu, sekali gus melanggar protokol yang mewajibkan atlet memaklumkan lokasi mereka bagi ujian mengejut.

Agensi itu memaklumkan bahawa McGregor memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan, mengakui kesalahan dan memberikan penjelasan berhubung sebab kegagalannya menghadiri ujian berkenaan.

“Walaupun terdapat faktor mitigasi, CSAD menegaskan bahawa ketepatan maklumat lokasi atlet serta kemampuan menjalankan ujian tanpa notis adalah elemen penting dalam kejayaan protokol antidoping UFC,” jelas kenyataan itu.

Tempoh penggantungan McGregor dikurangkan daripada dua tahun kepada 18 bulan, dengan tarikh kuat kuasa dikira semula bermula September 2024.

McGregor boleh kembali bertarung mulai 20 Mac tahun depan, sekali gus membuka peluang untuk beraksi dalam acara UFC yang dijadual diadakan di White House pada 14 Jun, bersempena ulang tahun kelahiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

McGregor sebelum ini beberapa kali menyatakan hasrat untuk beraksi dalam acara tersebut, namun Ketua Pegawai Eksekutif UFC, Dana White, menegaskan pada Sabtu lalu bahawa rundingan bagi acara itu masih belum dimulakan.

“Kami masih belum mula berunding untuk sebarang pertarungan di White House.

Anda boleh lihat Conor sangat bersemangat untuk menyertai tetapi tiada apa-apa yang dimuktamadkan lagi,” kata White selepas satu acara di Las Vegas. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM