SHANGHAI, 7 Oktober- Bekas pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, melangkah ke suku akhir Shanghai Masters selepas menewaskan pemain Sepanyol, Jaume Munar, 6-3, 5-7, 6-2 dalam perlawanan sengit selama dua jam 41 minit pada Selasa.
Pemain berusia 38 tahun itu, yang mara ke suku akhir kejohanan ini buat kali ke-11, dilaporkan mengalami ketidakselesaan pada bahagian kaki kiri namun tetap berjaya menamatkan perlawanan dengan kemenangan.
Djokovic akan berdepan pemain Belgium, Zizou Bergs, pada pusingan seterusnya dalam usahanya memburu kejuaraan di Shanghai.
Bergs mara selepas menumpaskan wakil Kanada, Gabriel Diallo, 3-6, 7-5, 7-6(8), dalam aksi penuh dramatik di Qi Zhong Tennis Center.
Pemain ranking ke-44 dunia itu menyelamatkan dua mata perlawanan untuk mencatat penampilan pertamanya di suku akhir kejohanan Masters 1000.
Dalam satu lagi aksi, pemain Denmark, Holger Rune turut mara selepas menundukkan Giovanni Mpetshi Perricard dari Perancis, 6-4, 6-7(9), 6-3.
Rune, juara Masters Paris 2022, memanfaatkan dua break penting untuk mengesahkan kemaraan meskipun hanya memenangi 27 peratus mata ketika servis lawan. -REUTERS