PARIS, 8 Oktober- England dan Portugal semakin hampir mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 selepas menguasai kumpulan masing-masing, manakala Norway berpeluang menamatkan penantian sejak 1998 sekiranya menang pada aksi hujung minggu ini.
Skuad Thomas Tuchel kini mendahului Kumpulan K dengan tujuh mata dan boleh mengesahkan kelayakan jika menewaskan Latvia di Riga pada Selasa, bergantung kepada keputusan perlawanan Serbia menentang Albania.
Portugal pula hanya memerlukan dua kemenangan menentang Republik Ireland dan Hungary untuk memastikan kedudukan teratas Kumpulan F, dengan Cristiano Ronaldo dijangka terus menjadi tonggak utama skuad kendalian Roberto Martinez itu.
Sementara itu, Norway yang dipacu Erling Haaland hanya selangkah ke Piala Dunia dan bakal layak jika menewaskan Israel serta Itali gagal menang dalam aksi Kumpulan I.
Namun, mereka kehilangan kapten Martin Odegaard akibat kecederaan.
Empat kali juara dunia, Itali, kini terdesak mengelak laluan play-off selepas dua kali gagal mara ke edisi 2018 dan 2022.
Perancis, Sepanyol, Croatia dan Switzerland turut berpeluang mengesahkan kelayakan masing-masing minggu ini jika mencatat keputusan positif.
Dalam pada itu, Jerman perlu bangkit selepas kekalahan awal kepada Slovakia untuk kekal dalam saingan. -AFP