KUALA LUMPUR, 8 Oktober- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh pembangunan akar umbi sukan sepak takraw menerusi penganjuran Kem Final Klinik STL 2025 yang berlangsung di Akademi Sepak Takraw Malaysia, Kuala Lumpur bermula hari ini hingga Jumaat.
Program kerjasama Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) itu menghimpunkan 40 bakat muda terbaik berusia 13 hingga 17 tahun, hasil pemilihan daripada enam siri Klinik STL di seluruh negara sejak awal musim.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sepak takraw diangkat sebagai salah satu sukan teras negara kerana mempunyai potensi besar untuk menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, selain menjadi warisan sukan rakyat yang mudah diakses.
"Kita masukkan sepak takraw sebagai sukan teras dan mereka juga menerima banyak dana daripada kerajaan. Sebagai contoh, apabila kita memaklumkan kepada Perdana Menteri mengenai keperluan mewujudkan sebuah akademi dan infrastruktur khas untuk sukan sepak takraw, kita turut membantu mengenal pasti tanah milik Institut Sukan Negara (ISN) iaitu tanah kerajaan Persekutuan yang sedia ada infrastrukturnya.
Hanya dana naik taraf diperlukan, dan hasilnya Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan khas berjumlah RM6 juta bagi projek pembangunan sepak takraw tersebut," kata Hannah, hari ini.
Beliau menyatakan perkara berkenaan semasa menghadiri Kem Final Klinik STL 2025 di ibu negara.
Tambah beliau, program itu bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar sekolah mencuba sukan tersebut, malah turut memperkenalkan sepak takraw di sekolah pelbagai aliran termasuk Sekolah Cina, Tamil dan komuniti Orang Asli melalui projek khas pembangunan bakat.
Kem Final Klinik STL 2025 menjadi kemuncak kepada siri program pembangunan yang diperkenalkan sejak 2023, menawarkan latihan intensif lima hari bersama jurulatih kebangsaan menggunakan modul profesional pembangunan pemain muda.
