fb fb fb fb fb

Malaysia kembali sertai FIA Motorsport Games

foto MAM

KUALA LUMPUR, 5 Oktober - Malaysia mengesahkan akan menghantar wakil dalam FIA Motorsport Games yang akan diadakan dari 23-27 Oktober 2024.

Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengumumkan penyertaan dalam tiga disiplin di acara yang akan diadakan di Circuit Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol.

Malaysia bersedia untuk mempamerkan kebolehan perlumbaan mereka dalam Kejuaraan GT, dengan barisan pelumba yang berbakat mewakili negara dalam pelbagai kategori.

Kategori GT Sprint, Jazeman Jaafar akan menggalas tanggungjawab selaku pelumba berpengalaman manakala Weiron Tan dan Selim Rafique akan bersaing dalam kategori GT menggunakan jentera  Lamborghini Huracan GT3.

Pelumba-pelumba Malaysia dalam kategori GT akan bersama pasukan Taxshield Arrows yang berpengalaman, terkenal dengan kepakaran teknikal.

Kategori GT mempunyai format unik, di mana setiap negara menampilkan dua pelumba yang mempunyai lesen perlumbaan gred Perak  dan Gangsa.

Sebaliknya kategori GT Sprint hanya membariskan pelumba yang mempunyai lesen gred Emas bagi setiap kereta.

Manakala dalam kategori Esports, dua pelumba yang berlatih di bawah Alex Yoong, Naquib Nor Azlan dan Nabil Nor Azlan akan mewakili Malaysia mempamerkan bakat perlumbaan mereka.

Kedua adik beradik ini akan berlumba secara individu dalam dua kategori berasingan, Naquib, berharap untuk memperbaiki prestasinya dalam kategori Esports GT dengan sasaran pingat untuk Malaysia, manakala adiknya, Nabil, akan membuat penampilan sulung di FIA Motorsport Games dalam kategori Esports F4.

“Kami sangat bangga dan teruja untuk menghantar pelumba-pelumba tempatan bagi Acara FIA Motorsport Games yang dianggap sebagai Sukan Olimpik dalam sukan permotoran. Saya percaya lima pelumba Malaysia ini mempunyai apa yang diperlukan untuk bersaing dengan yang terbaik di peringkat antarabangsa, dan acara ini adalah peluang yang cukup baik untuk mempamerkan bakat mereka dari Asia Tenggara,” kata Tan Sri Mokhzani Mahathir, Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM).

Ini adalah penampilan kali ketiga wakil negara yang akan bersaing di FIA Motorsport Games.

Acara sulung pada tahun 2019, Pasukan Malaysia, yang diwakili oleh pemenang eRacing GP 2019, Mior Muhamad Hafiz, menduduki tempat ke-8 dalam Digital Cup.

Pada tahun 2022, Naquib Azlan mengatasi pesaing dari lebih 60 negara, layak sebagai finalis dalam Esports Cup.

FIA Motorsport Games adalah acara multidisiplin unik yang menyaksikan pelumba bersaing dengan membawa bendera negara mereka.

Edisi ketiga akan berlangsung di Sepanyol, dengan Generalitat Valenciana dan Circuit Ricardo Tormo menjadi tuan rumah acara popular yang menyatukan atlet dari seluruh dunia dalam semangat persaingan sukan permotoran yang unik.

Edisi tahun ini lebih meriah dengan pertambahan 10 kategori baru menjadi keseluruhan 26 kategori meningkatkan peluang bagi pemandu dari Badan Sukan Kebangsaan (ASN) di seluruh dunia untuk merebut pingat di bawah bendera negara mereka.

Keseluruhan spektrum sukan bermula dari Perlumbaan Litar hingga Jalan Elektrik, termasuk Slalom Auto, Slalom Karting, Esports, Off-road, dan Rali.

Kategori asal FIA Motorsport Games – GT, GT Sprint, Kereta Touring, Formula 4, Drift,dan Esports – terus menjadi fokus, bersama dengan peluang pingat baru dalam Rali Esports.

Trainee2