fb fb fb fb fb

Piala Malaysia Futsal 2024, JDT mahu tebus kekecewaan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 5 Oktober- Ketua jurulatih pasukan futsal Johor Darul Ta'zim (JDT), Juan Antonio Miguel Garcoa mempunyai misi besar menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia Futsal 2024 menentang Selangor di Axiata Arena, Bukit Jalil petang esok.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata beliau berazam untuk menebus kekecewaan pada final tahun lepas dengan membantu skuad Harimau Selatan merangkul gelaran juara buat kali pertama dalam sejarah.

Beliau berkata memenangi trofi itu akan menjadi penamat yang sempurna buat JDT selepas mereka berjaya merangkul kejuaraan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) Divisyen 1 2024 pada Julai lepas.

“JDT gembira mara ke final (Piala Malaysia Futsal). Seperti apa yang saya katakan sebelum ini, kami datang ke sini bukan hanya untuk bermain tetapi kami mahu menang.

“Saya yakin dengan pasukan saya pada perlawanan ini. Dalam masa sama, kami menghormati Selangor kerana mereka juga pasukan yang bagus,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Sebelum ini, JDT menempah slot ke final Piala Malaysia Futsal 2024 selepas menewaskan Kuala Lumpur City dengan agregat 9-2, manakala Selangor mara dengan menewaskan juara bertahan Pahang Rangers 9-7.

Sementara itu, jurulatih Selangor, Edgar Eder Baldasso optimis pasukan itu akan mengakhiri badi sekadar menduduki tempat ketiga dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

Bagaimanapun, Edgar mengakui tugas sukar menanti mereka, kerana JDT adalah pasukan yang kuat dan pilihan untuk menjulang piala.

“JDT adalah pasukan yang kuat kerana mereka juara MPFL. Pasukan mereka juga mempunyai pemain import yang bagus.

“Saya boleh katakan peluang pada perlawanan esok akan menjadi 50-50. Walaupun JDT adalah pasukan pilihan saya, kami masih mempunyai potensi untuk menang kerana permainan kami juga sangat baik,” katanya.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM