JAKARTA, 26 Ogos- Tirai Sukan SEA Pekak 2025 dilabuhkan secara rasmi malam tadi dalam suasana gilang-gemilang di Gedung Olahraga Universitas Negeri Jakarta (UNJ), menandakan berakhirnya edisi kedua temasya berprestij itu.
Upacara penutup diserikan dengan perarakan kontinjen negara peserta termasuk simbolik penyerahan bendera ADSF dari tuan rumah Indonesia kepada Malaysia, selaku penganjur edisi 2027 di Pulau Pinang.
Atlet olahraga negara, Zaiman Megat Abu diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang diiringi Ketua Kontinjen, Sarkunan Balakrisnan, manakala api obor temasya dipadamkan sebagai tanda penutupan rasmi.
Edisi Jakarta kali ini menjadi saksi kejayaan luar biasa, apabila kontinjen negara menamatkan saingan selaku juara keseluruhan dengan 25 pingat emas, 16 perak dan 11 gangsa.
Kutipan 25 pingat emas hasil sumbangan 10 pingat daripada kategori olahraga, lapan daripada boling, lima menerusi catur serta dua dari badminton.
Ini sekali gus mengatasi sasaran awal sebanyak 16 emas dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai kuasa baharu sukan pekak serantau.