fb fb fb fb fb

MacCormac cipta sejarah luncur udara di Jambatan Teluk San Francisco

MacCormac cipta sejarah luncur udara di Jambatan Teluk San Francisco / Foto REUTERS

SAN FRANCISCO, 25 Ogos - Seorang penerjun udara Amerika Syarikat, Sean MacCormac mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama melakukan aksi luncur udara (skysurf) di Jambatan Teluk San Francisco, di sini.

Dalam aksi berani itu, MacCormac terjun dari sebuah helikopter pada ketinggian 5,500 kaki (1,676 meter) sebelum melakukan penerbangan selama tiga minit. Beliau kemudiannya berjaya meluncur di sepanjang kabel gantung jambatan berkenaan menggunakan papan khas sebelum mendarat dengan selamat di sebuah platform terapung.

Skysurfing merupakan sukan ekstrem yang menyerupai luncur udara dengan papan diikat pada kaki atlet bagi membolehkan mereka melakukan pelbagai aksi akrobatik di udara.

Persiapan aksi bersejarah itu memakan masa beberapa bulan dengan MacCormac menjalani latihan intensif menggunakan kren setinggi 55 meter yang dibina khas bagi meniru struktur kabel jambatan berkenaan.

MacCormac, yang dianggap perintis dalam sukan skysurfing, turut pernah berkhidmat sebagai jurulatih awam CIA, pelakon lagak ngeri di Hollywood serta jurulatih untuk Tentera Laut dan Tentera Udara Amerika Syarikat. - REUTERS

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE