PARIS, 26 Ogos- Pemain nombor satu dunia, Shi Yuqi dari China, tidak berdepan masalah untuk melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia selepas menewaskan wakil India, Lakshya Sen, 21-17, 21-19 dalam tempoh kurang sejam.
Yuqi yang meraih pingat perak edisi 2018 di tanah airnya, hadir ke Paris sebagai antara pilihan utama untuk merangkul gelaran dunia kali ini.
Bagaimanapun, rakan senegaranya yang juga pilihan keempat, Li Shi Feng tersingkir awal selepas tewas 19-21, 21-11, 15-21 kepada pemain Jepun, Yushi Tanaka.
Dalam acara wanita, juara Olimpik merangkap pemain nombor satu dunia, An Se-young dari Korea Selatan, tidak berdepan cabaran sukar apabila menundukkan pemain Belgium, Clara Lassaux, 21-5, 21-8, kurang daripada 30 minit untuk mara ke kelompok 32 terbaik.
Kejutan turut berlaku apabila pemain Vietnam, Nguyen Thuy Linh, menyingkirkan pilihan ke-10 dari Thailand, Ratchanok Intanon, dengan kemenangan straight set 21-17, 21-18. - REUTERS