fb fb fb fb fb

Malaysia dipilih tuan rumah Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia 2022

(Para pelumba ketika beraksi pada Kejohanan Lumba Basikal BMX Antarabangsa Malaysia 2022
di Arena BMX Nasional, Negeri Sembilan hari ini)

NILAI, 21 Ogos - Malaysia sekali lagi dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Lumba Basikal BMX Asia (ACC BMX) 2022 selepas kira-kira dua tahun kejohanan itu direhatkan susulan wabak COVID-19.

Pengarah Teknikal ACC BMX 2022, Ronizam Ismail berkata, kejohanan yang diadakan di Arena BMX Nasional di Nilai itu menerima penyertaan daripada kira-kira 340 atlet dari enam buah negara dengan 260 atlet tempatan diwakili oleh pasukan nasional dan kelab BMX negeri.

"Selepas PKP dan juga ini rasanya perlumbaan pertama BMX tahun 2022 Antarabangsa untuk Asia. Sebab kalau tahun ini belum ada lagi BMX Asia sebab PKP, sempadan pun tutup, sekarang sempadan buka maksudnya kita negara pertama anjur pertandingan antarabangsa," kata beliau ketika ditemui di ACC BMX 2022, di sini hari ini.

Malaysia berjaya meraih pingat gangsa menerusi kategori wanita bawah 23 tahun oleh Eddyna Nasuhar Zainal Abidin dan kategori lelaki bawah 23 tahun oleh Saniy Syahmi Mohd Safiee.


(Pelumba Jepun, Ryo Shimada (tengah) mengungguli kategori lelaki bawah 23 tahun pada Kejohanan
Lumba Basikal BMX Antarabangsa Malaysia 2022, manakala pelumba Indonesia Fasya Ahsana Rifki
(kiri) meraih perak dan pelumba negara Saniy Syahmi Mohd Safiee (kanan) meraih gangsa/ BERNAMA) 

Biarpun meraih pingat gangsa, Saniy Syahmi Mohd Safiee dan Eddyna Nasuhar Zainal Abidin tidak berputus asa dan menyasarkan untuk melakukan dengan lebih baik ketika di kejohanan SUKMA nanti.

Kejayaan itu menawarkan kutipan mata UCI untuk dikumpulkan supaya mendapat kelayakan bagi penglibatan dalam sukan Olimpik pada tahun 2024.

"Semalam memang saya dah cuba yang terbaik tapi Alhamdulillah saya dapat nombor tiga semalam, untuk hari ini memang saya sasar dapatkan podium untuk Malaysia," kata Saniy Syahmi.

"Alhamdulillah saya rasa sangat gemnbira sebab dapat pingat gangsa untuk Malaysia, saya buat ini untuk Malaysia, sasaran saya selepas ni SUKMA, saya nak dapat emas untuk Terengganu dan sasaran saya harap satu hari dapat ke peringkat antarabangsa, kumpul mata untuk ke Olimpik," menurut Eddyna Nasuhar.

Media Baharu