PETALING JAYA, 22 Ogos- Kejohanan Muaythai Remaja Dunia IFMA 2022 yang melabuhkan tirainya di sini semalam, menerima kehadiran 20,000 penonton sepanjang 12 hari berlangsung.
Penganjuran kejohanan kali kedua itu dilihat amat berjaya.
Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM), Datuk Paduka Muhammad Shahnaz Maula Azmi berkata jumlah penyertaan dari 101 buah negara adalah sesuatu yang amat membanggakan.
"Penganjuran terbesar pada fasa peralihan ke endemik di Malaysia dan sempadan negara baharu sahaja dibuka, saya hanya ada masa dua, tiga bulan saja untuk buat kejohanan mega macam ini dengan penyertaan yang ramai.
"Kami menerima sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Belia dan Sukan termasuk juga badan dunia itu sendiri," katanya kepada RTM di sini.
(Datuk Paduka Muhammad Shahnaz Maula Azmi)
Tambah Muhammad Shahnaz, antara faktor kejohanan ini dianjurkan adalah bagi memastikan pembangunan akar umbi berterusan.
"Disebabkan Malaysia akan jadi tuan rumah Sukan Sea 2027 jadi kalau kita tak mulakan pembangunan akar umbi, kita akan ketinggalan 2027.
"Jadi tujuan utama kita buat ini adalah sebab kita nak bina atlet daripada sekarang," jelasnya.
Menurutnya lagi, selain meningkatkan mutu sukan Muaythai negara, kejohanan berkenaan berjaya membawa impak positif terhadap ekonomi negara dengan membawa pulangan RM61 juta.
Kejohanan Muaythai Remaja Dunia IFMA seterusnya bakal berlangsung di Turkiye pada September 2023.