NILAI, 25 September – Persiapan terakhir giat dijalankan menjelang Kejohanan World Karate Serie A yang bakal berlangsung di Malaysia dengan penyertaan 81 negara, melibatkan kira-kira 1,080 atlet antarabangsa.
Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad berkata segala persiapan rapi telah dilakukan termasuk fasiliti kejohanan seperti tatami dan kemudahan venue yang dijangka siap sepenuhnya pada 30 September ini.
Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad
“Penganjuran kejohanan di bawah Persekutuan Karate Dunia (WKF) ini berada pada tahap berbeza kerana lebih banyak negara mengambil bahagian berbanding kejohanan Asia. Kali ini saya memilih untuk menganjurkannya di luar Melaka supaya karate dapat dipromosikan ke negeri lain.
“Walaupun peminat karate tidak begitu ramai, penganjuran di Nilai yang dekat dengan Kuala Lumpur membolehkan lebih ramai menyaksikan kejohanan ini, sekali gus membuktikan fokus saya bukan hanya di Melaka sahaja,” katanya dalam sidang media khas MAKAF di sini.
Menurutnya, Malaysia akan menghantar 30 atlet terdiri daripada atlet berpengalaman dan atlet pembangunan bagi menilai kemampuan mereka di pentas berprestij itu.
Daripada jumlah tersebut, hanya atlet terbaik akan dipilih mewakili negara ke temasya Sukan SEA (SEA Games) di Thailand, bagi memastikan kontinjen karate negara terus menyumbang pingat pada setiap edisi.
Penganjur optimis kejohanan tersebut bukan sahaja menguji tahap persediaan atlet negara, malah mampu meningkatkan prestasi mereka di peringkat antarabangsa.