fb fb fb fb fb

Terbuka Korea: Dua beregu campuran negara ke suku akhir

Beregu campuran negara Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 25 September - Dua beregu campuran negara melangkah ke suku akhir Terbuka Korea 2025 yang berlangsung di Gimnasium Suwon, Gyeonggi hari ini.

Pada aksi pusingan kedua, pilihan kelima Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menewaskan gandingan China, Gao Jia Xuan-Wu Meng Ying 21-16, 21-13 dalam 31 minit perlawanan.

Pasangan negara dijadual berdepan Yuta Watanabe-Maya Taguchi dari Jepun atau gandingan utama dunia Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China yang turun beraksi dalam satu lagi perlawanan pusingan kedua.

Bagi Tien Ci-Chiew Sien, mereka diheret beraksi dalam tiga set sebelum berjaya menyingkirkan pasangan Korea Selatan, Lee Jongmin-Chae Yu Jung 9-21, 21-15, 21-17.

Wakil negara itu dijadual berdepan pemenang bagi pertemuan membabitkan wakil Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje dan Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu dari Indonesia. -BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN