fb fb fb fb fb

Malaysia berdepan perlawanan sukar menentang Palestin

Pemain Harimau Malaya Daniel Ting (depan) bersama rakan sepasukan menjalani latihan menjelang perlawanan persahabatan Tier 1 menentang skuad kebangsaan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim. / BERNAMA

JOHOR BAHRU, 6 September – Kejayaan Harimau Malaya menewaskan Singapura, 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil menjadi asas penting untuk pasukan kebangsaan memperkukuh prestasi.

Ini terutama menjelang perlawanan Malaysia menentang Palestin pada Isnin.

Ketua jurulatih, Peter Cklamovski berkata tempoh persiapan yang singkat selepas perlawanan menentang Singapura tidak menjadi halangan.

Pemain juga sudah membiasakan diri dengan jadual padat di peringkat kelab dan antarabangsa.

"Hari ini kami menilai semula prestasi ketika menentang Singapura, dan ia memberi satu lagi langkah ke hadapan. Tumpuan kini beralih kepada Palestin, dan dalam sesi latihan malam ini kami akan meneliti lebih banyak maklumat mengenai mereka.

"Kami menjangkakan satu perlawanan sukar menentang pasukan dengan gaya permainan berbeza, namun kami akan pastikan pasukan bersedia sepenuhnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sebelum sesi latihan rasmi perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

Jurulatih kelahiran Australia itu percaya aksi menentang Palestin akan memberi cabaran berbeza, terutama dari segi corak permainan dan kekuatan fizikal lawan.

Sementara itu pemain tengah negara, Nooa Laine menegaskan Harimau Malaya perlu segera menyesuaikan diri dengan jadual padat.

Selain memberi fokus sepenuhnya kepada persembahan berpasukan.

“Tempoh persiapan memang singkat, jadi sebagai pemain kami perlu melakukan apa sahaja bagi memulihkan fizikal dan mental untuk bersedia menentang Palestin.

"Bagi saya keadaan ini sesuatu yang normal kerana kami sudah biasa bermain banyak perlawanan dalam tempoh singkat, jadi ia tidak menjadi masalah.” jelasnya.

Perlawanan menentang Palestin yang berada di ranking ke-98 dunia dianggap medan penting untuk menilai tahap keserasian pemain baharu dengan tonggak utama.

Aksi itu juga memberi peluang kepada Cklamovski menguji beberapa strategi menjelang tugasan kompetitif akan datang.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID