fb fb fb fb fb

Malaysia atur persiapan rapi hadapi Kelayakan Piala Asia Futsal 2026

Foto FB FAM

KUALA LUMPUR 2 Sept- Skuad futsal kebangsaan kini giat mengatur persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan, Pahang hujung bulan ini.

FAM dalam hantaran di Facebook memaklumkan, pasukan bimbingan Rakhpol Sainetngam itu telah menjalani kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya mulai 28 Ogos lalu sebelum berdepan dua ujian getir pada siri aksi persahabatan di Thailand.

Selaku tuan rumah, Rakhpol mahu memastikan para pemain negara berada dalam keadaan terbaik menjelang kejohanan tersebut.

“Persiapan skuad kebangsaan bermula dengan latihan di Wisma FAM kemudian bersambung dengan latihan di Bangkok, Thailand bermula 8 September 2025.

“Kita telah mengatur dua aksi persahabatan di sana berdepan pasukan kebangsaan Thailand dan juga Chonburi Bluewave Futsal Club.

“Selepas itu, kami akan pulang kembali ke tanah air untuk membuat persiapan akhir di Kuantan, Pahang,” kata jurulatih dari Thailand itu.

Pada kempen kelayakan kali ini, Malaysia bakal turun selaku tuan rumah Kumpulan G selepas diundi bersama-sama Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bangladesh.

Sedar cabaran hebat menanti anak-anak buahnya, Rakhpol tetap optimis Malaysia dapat bermula dengan langkah kanan untuk mengutip tiga mata pada aksi pembukaan.

“Malaysia bakal bertemu lawan yang hebat seperti Iran namun aksi pertama menentang UAE amat penting untuk membantu kita layak ke pentas Piala Asia Futsal 2026 di Indonesia," katanya.

Menurutnya, sokongan padu daripada para peminat ditagih seterusnya menyuntik moral terbaik buat pasukan kebangsaan bagi megharungi tiga aksi di laman sendiri.

“Perlawanan kali ini berlangsung di Stadium Tertutup SUKPA dan kita tahu sokongan luar biasa bakal diterima di Kuantan.

“Kita juga berharap agar para peminat beramai-ramai turun untuk menyokong pasukan futsal kebangsaan,” ujar Rakhpol.

Malaysia bakal membuka tirai aksi Kelayakan Piala Asia Futsal 2026 menentang UAE pada 20 September sebelum bertemu Bangladesh pada 22 September dan Iran (24 September).

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello