KUALA LUMPUR, 2 Sept- Skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) negara siap sedia mempamerkan aksi mantap pada kempen Kumpulan F Kelayakan Piala Asia B-23 2026 di Pathum Thani, Thailand, dari 3 hingga 9 Sept ini.
Ketua jurulatih Nafuzi Zain berkata Malaysia diundi dalam kumpulan sukar bersama tuan rumah Thailand, Mongolia dan Lebanon, namun Harimau Muda bertekad memberikan persembahan terbaik bagi merebut tempat ke pusingan akhir, sama ada selaku juara kumpulan atau satu daripada empat naib juara terbaik.
“Kita berada dalam kumpulan yang sukar kerana pasukan lain juga kuat, tetapi kami datang ke sini untuk memberikan segalanya demi layak ke pusingan akhir.
“Ini hanya kejohanan kedua saya. Jadi, saya juga berharap dapat menampilkan persembahan baik serta corak permainan berkualiti. Walaupun kebanyakan pemain kita masih muda dan baharu, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk mara ke pusingan akhir,” katanya pada sidang media praperlawanan di Thailand hari ini.
Nafuzi berkata tiga pemain iaitu pertahanan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili serta penyerang Muhammad Aliff Izwan Yuslan dan Fergus Tierney hanya menyertai pasukan baru-baru ini kerana komitmen Liga Super bersama kelab masing-masing, namun beliau yakin proses keserasian tidak akan menimbulkan masalah.
“Mereka adalah sebahagian daripada skuad sebelum ini. Jadi, saya tidak fikir akan ada masalah untuk mereka segera menyesuaikan diri,” katanya.
Skuad bimbingan Nafuzi akan membuka kempen menentang Lebanon esok, diikuti Mongolia (6 Sept) sebelum bertemu Thailand pada aksi terakhir (9 Sept), dengan semua perlawanan dijadualkan berlangsung di Stadium Thammasat.
Hanya 11 juara kumpulan dan empat naib juara terbaik akan melayakkan diri ke pusingan akhir di Arab Saudi pada Januari depan.
Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dianggap medan kebangkitan Harimau Muda selepas gagal melepasi peringkat kumpulan dalam saingan Piala ASEAN B-23 pada Julai lepas.
Malaysia sebelum ini layak ke Piala Asia B-23 edisi 2022 (Uzbekistan) dan 2024 (Qatar), dengan pencapaian terbaik ialah mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China. -BERNAMA