fb fb fb fb fb

LTdL: Skuad negara fokus misi utama, bidik gelaran Pelumba Terbaik ASEAN

Ketua jurulatih pasukan, Mohd Yusof Abdul Nasir

PASIR PUTEH, 30 September- Skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan masih kekal dengan misi utama memburu gelaran Pelumba Terbaik ASEAN dalam saingan Le Tour de Langkawi 2025.
 
Selepas menamatkan cabaran peringkat ketiga hari ini, tumpuan kini beralih ke peringkat keempat esok dari Kuala Terengganu ke Kemaman.
 
Ketua jurulatih skuad negara, Mohd Yusof Abdul Nasir menjelaskan tumpuan utama esok adalah memastikan semua pelumba negara kekal berada dalam kelompok hadapan.

“Strategi untuk esok adalah memastikan pasukan sentiasa berada dalam kelompok hadapan.

Jika ada peluang, kita akan cuba kumpul mata, dan dalam masa yang sama, ketika baki 20 kilometer terakhir, kita akan pastikan pelumba berada di depan bagi membuka peluang meraih podium," kata Mohd Yusof kepada pemberita, hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat perlumbaan Le Tour De Langkawi Peringkat Ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan, di sini.
 
Mohd Yusof turut melahirkan rasa syukur dengan prestasi pasukan setakat ini, sambil menegaskan bahawa salah seorang pelumba negara, Zhe Yie Kee, masih berpeluang untuk memburu jersi Pelumba Terbaik ASEAN.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM