fb fb fb fb fb

Ragbi Piala Agong, Johor optimis bawa pulang takhta juara

Foto Fail

JOHOR BAHRU, 30 September- Skuad ragbi Johor yakin mampu membawa pulang kejuaraan edisi Piala Agong 2025.

Presiden Kesatuan Ragbi Negeri Johor, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata keyakinan itu bersandarkan prestasi cemerlang pasukan, termasuk menamatkan saingan peringkat Kumpulan B selaku pendahulu tanpa kalah.

“Kita memiliki barisan pemain yang majoritinya berasal dari Johor hasil program pembangunan serta turut disertai pemain import dan pemain naturalisasi Johor.

Buat masa ini, kita masih belum tahu lawan yang bakal ditemui. Namun, apa yang lebih penting ialah fokus kepada pasukan sendiri berbanding pihak lain. Kita perlu menambah baik kedudukan serta memperbaiki segala kelemahan agar pasukan terus menunjukkan peningkatan seterusnya mencapai objektif yang ditetapkan," kata Datuk Mohd Noorazam kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Karnival Ragbi Johor (JRC) 2025, yang bakal menghimpunkan kira-kira 1,000 pelajar daripada 108 sekolah dalam dan luar negara.

Edisi lalu, skuad selatan itu muncul naib juara selepas tewas kepada PDRM di pentas akhir.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM