ISKANDAR PUTERI, 1 Oktober - Johor Darul Ta’zim (JDT) terlepas untuk memburu kemenangan pertama Liga Juara-Juara Asia Elit, selepas seri tanpa jaringan menentang Machida Zelvia FC, malam tadi.
Perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu menyaksikan beberapa peluang terhidang, namun kedua-dua pasukan gagal menemui sentuhan penyudah diharapkan.
Pada minit ke-23, pelawat dihadiahkan sepakan penalti selepas Jonathan Silva mengasari Na Sangho, namun sepakan diambil Yuki Soma sekadar menggegar palang.
Ager Aketxe hampir menghukum pelawat dengan dua percubaan jarak jauh, minit ke-43 dan penghujung babak pertama, namun masing-masing diselamatkan penjaga gol.
Ketangkasan Syihan Hazmi pula diuji pada minit ke-60, apabila beliau menafikan rembatan Na Sangho selepas menerima hantaran silang berbahaya.
Keputusan muktamad 0-0, menyaksikan Harimau Selatan masih gagal meraih kemenangan sulung selepas dua aksi peringkat kumpulan.
Ketua Jurulatih JDT, Xisco Muñoz, tetap memuji disiplin pemainnya menyerap setiap tekanan sepanjang perlawanan berintensiti tinggi itu.
"Kami berdepan pasukan yang memiliki kekuatan fizikal, namun pemain saya berjaya menampilkan prestasi baik. Kami perlu mengekalkan intensiti sama sepanjang 90 minit. Di depan penyokong sendiri, saya fikir ia satu persembahan yang baik", katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Machida Zelvia FC, Go Kuroda pula, mengakui ketumpulan serangan dan hantaran tepat menjadi punca sebarang jaringan tidak terhasil.
"Malam ini permainan banyak tertumpu kepada serangan balas. Namun, kami kurang berkualiti dalam penyudah dan hantaran. Ia tidak begitu tepat, dan perkara ini perlu diperbaiki menjelang perlawanan seterusnya", katanya.