fb fb fb fb fb

LTdL: Skuad berbasikal negara intai podium pada setiap peringkat

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 22 Sept - Skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan meletakkan sasaran tinggi di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 apabila mengintai peluang podium pada setiap peringkat, termasuk cuba menempatkan diri dalam kelompok lima terbaik keseluruhan.

Ketua jurulatih pasukan, Mohd Yusof Abdul Nasir, berkata gandingan tiga pelumba senior bersama tiga pelumba bawah 25 tahun diyakini mampu memberikan keputusan membanggakan buat negara.

"Saya realistik, untuk laluan rata kita ada Muhammad Elmi Jumari. Kalau dia berada dalam keadaan terbaik, tanpa masalah seperti tahun lepas, insya-Allah kita boleh cuba sasarkan kelompok lima terbaik dalam acara pecut.

“Untuk pendakian pula seperti di Fraser’s Hill, saya nampak Muhammad Iqmal Mohd Zarawi, Zhe Yie Kee atau Muhammad Ameer Ahmad Kamal boleh berada dalam kelompok hadapan,” katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara di sini, hari ini.

Bagi peringkat awal, beliau optimis skuad negara mampu mengulangi percubaan memburu jersi pendahulu (sprint) selepas hampir berjaya tahun lalu.

"Biasanya peringkat pertama ni memang perlumbaan terbuka. Tahun lepas kita cuba dapatkan jersi merah tapi bocor di penghujung. Tahun ni kita akan cuba lagi dengan Muhammad Yusri Shaari atau Mohd Shahrul Mat Amin 'breakaway' di peringkat pertama," katanya.

Tambah Yusof lagi, meskipun setiap pasukan Malaysia seperti Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) mempunyai strategi serta misi tersendiri, namun pasti tersemat semangat untuk mengharumkan nama negara.

"Dalam perlumbaan macam ini semua ada strategi masing-masing. Tapi bila melibatkan nama Malaysia, saya percaya semua pasukan tetap akan berjuang demi negara," jelasnya.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello