KUALA LUMPUR, 22 September – Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou berikrar untuk mengetepikan kemelut yang melandanya baru-baru ini dan kembali memberikan fokus sepenuhnya kepada karier selaku pemain profesional.
Perkara itu dinyatakan melalui satu kenyataan di laman Instagram miliknya, selepas beliau merangkul pingat emas acara beregu lelaki SU5 di Kejohanan Para Badminton Antarabangsa China, semalam.
Pemain berusia 37 tahun itu menjelaskan, sokongan padu rakyat Malaysia menjadi pembakar semangat utama untuknya kembali bangkit dan menutup episod kontroversi dengan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).
Dalam perlawanan akhir di Beijing, Liek Hou yang bergandingan dengan pemain India, Ruthick Ragupathi menundukkan pasangan tuan rumah, He Zhi Rui-Li Ming Pan 21-14, 20-22, 21-16.
Bagaimanapun, dalam acara perseorangan kegemarannya, pemenang dua kali emas Paralimpik itu sekadar meraih gangsa selepas mengakui isu yang melanda menjejaskan fokus dan konsentrasinya.
Kontroversi membabitkan Liek Hou tercetus selepas beliau menyuarakan kekecewaan berhubung isu insentif, yang membawa kepada ancaman tindakan undang-undang serta penggantungan oleh MPM.
Fokusnya kini beralih kepada dua kejohanan terdekat iaitu Para Antarabangsa Indonesia di Solo dari 29 Oktober hingga 2 November, serta Para Antarabangsa Jepun dari 5 hingga 9 November depan.