PARIS, 22 Sept- Penyerang Paris Saint-Germain (PSG), Ousmane Dembele dijangka memberi saingan sengit kepada bintang muda Barcelona, Lamine Yamal untuk merangkul anugerah Ballon d'Or, manakala Aitana Bonmati diramalkan memenanginya bagi kategori wanita buat kali ketiga berturut-turut.
Majlis gala tersebut akan berlangsung di Theatre du Chatelet di Paris untuk menentukan pemenang seterusnya bagi anugerah berprestij yang didominasi sejak sekian lama oleh Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Duo itu memenangi Ballon d'Or sebanyak 13 kali dari 2008 hingga 2023.
Anugerah itu, hadiah individu paling berprestij dalam bola sepak dengan pemain tengah Manchester City, Rodri memenanginya tahun lalu selepas dia mengetuai Sepanyol menjulang Euro 2024.
Namun, Rodri bukan lagi pencabar tahun ini selepas dia mengalami kecederaan panjang musim lalu.
Dembele yang berusia 28 tahun telah muncul sebagai pilihan utama daripada senarai calon pemenang Liga Juara Eropah mewakili PSG.
Sembilan ahli pasukan PSG yang memenangi kejuaraan Eropah buat kali pertama adalah antara 30 calon yang disenaraikan untuk memenangi Ballon d'Or tahun ini.
Selain Dembele, lapan lagi pemain PSG ialah Desire Doue, Achraf Hakimi, Khvicha Kvaratskhelia, Nuno Mendes, Joao Neves, Fabian Ruiz dan Vitinha, serta penjaga gol Gianluigi Donnarumma.
Bagaimanapun, Dembele dilihat mempunyai kelebihan selepas menempuh musim yang mengagumkan, menjaringkan 35 gol.
Sementara itu, Yamal yang berusia 18 tahun, antara calon lain yang menyerlah ketika ini di Barcelona, di mana dia dilihat sebagai pengganti Messi.
Dia memenangi Trofi Kopa untuk pemain terbaik berusia bawah 21 tahun pada anugerah Ballon d'Or tahun lalu, selepas membantu Sepanyol menjulang kejuaraan Eropah.
Dia menjaringkan 18 gol dalam 55 perlawanan dalam semua pertandingan musim lalu ketika Barcelona memenangi La Liga dan Copa del Rey Sepanyol, tetapi tewas pada separuh akhir Liga Juara Eropah kepada Inter Milan.
Calon-calon terkenal lain termasuk Viktor Gyokeres, Erling Haaland, Harry Kane, Cole Palmer serta gandingan utama Liverpool ketika menjuarai Liga Perdana 2024-2025, Mohamed Salah dan Virgil van Dijk.
Pemain Real Madrid, Mbappe dan Vinicius Junior juga berada dalam senarai.
Pemenang anugerah Bola Sepak Ballon d'Or ditentukan oleh undian daripada panel wartawan di setiap 100 negara teratas dalam ranking dunia FIFA. -AFP