fb fb fb fb fb

Mohd Shahrul kembali warnai LTdL 2025, dilantik ketua pasukan

Mohd Shahrul Mat Amin (kanan) /Foto RTM

KUALA LUMPUR, 23 Sept - Pelumba berbasikal lebuh raya negara, Mohd Shahrul Mat Amin kembali mewarnai Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas kali terakhir beraksi di kejohanan itu pada 2018.

Shahrul yang diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan, mengakui tempoh kembali ke tahap kompetitif bukan mudah, namun pengalaman lebih sedekad bersama Terengganu Cycling Team (TSG) banyak membantunya menyesuaikan diri.

“Untuk sebulan dua bulan pertama memang sakit nak kembali berlatih. Saya kayuh seorang diri, mental kena kuat.

"Tapi memori otot (muscle memory) tu masih ada, jadi bila masuk perlumbaan kecil macam di Shah Alam bulan lepas, saya rasa masih boleh bersaing dengan pelumba elit,” katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil di sini, hari ini.

Mengulas misi LTdL, Shahrul berkata peluang bersama skuad kebangsaan kali ini akan digunakan bagi membantu barisan pelumba muda terutama untuk mengawal rentak pasukan di peringkat pendakian.

“Kita akan tengok dulu peringkat pertama. Dari situ baru kita boleh baca kemampuan pasukan lain, sama ada nak sasar peringkat ketiga atau kelima. Insya-Allah saya akan bimbing pelumba muda kita untuk berada di posisi terbaik,” katanya.

Selain Mohd Shahrul, lima lagi pelumba skuad kebangsaan ialah Kee Zhe Yie, Muhammad Ameer Ahmad Kamal, Muhammad Elmi Jumari, Muhammad Yusri Shaari, Muhammad Iqmal Mohd Zarawi.

LTdL25 akan melewati semua 12 negeri di Semenanjung bermula di Pulau Langkawi pada 28 September dan berakhir di KLCC pada 5 Oktober.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello