HANGZHOU, 22 September – Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara menamatkan cabaran siri pertama Asia Rugby Emirates Sevens Series 2025 dengan pencapaian positif.
Pasukan lelaki negara menutup aksi di tempat keenam keseluruhan selepas tewas 17-26 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam penentuan tempat kelima.
Sebelum itu, Malaysia menewaskan Chinese Taipei 14-10 serta mencatat dua kemenangan di peringkat kumpulan ke atas UAE 21-15 dan Uzbekistan 21-12, namun tunduk 0-59 kepada Hong Kong.
Ketua jurulatih negara, Nik Safuan Ismade Nik Man berkata, prestasi keseluruhan dianggap positif walaupun berdepan cabaran kecederaan pemain.
"Alhamdulillah dari segi prestasi keseluruhan pasukan pada kali ini amat memberangsangkan dan kita telah berjaya mendapat ranking keenam di Asia pada kejohanan siri 1 kali ini.
"Bagi keadaan pemain pula, terdapat tujuh pemain mengalami kecederaan major memaksa kita merehatkan mereka dahulu untuk seketika bagi melanjutkan kempen seterusnya," katanya.
Sementara itu, skuad wanita negara menamatkan cabaran di tangga kelapan selepas tewas 10-17 kepada UAE dalam penentuan tempat ketujuh.
Malaysia turut kecundang 0-5 kepada Kazakhstan dan 7-22 kepada UAE, namun sempat mencatat kemenangan bergaya menewaskan Sri Lanka 24-14 di peringkat kumpulan.
Secara keseluruhan, Hong Kong muncul juara kategori lelaki diikuti Jepun dan tuan rumah China, manakala Jepun menjuarai kategori wanita dengan menewaskan China untuk gelaran sulung siri ini.
Skuad Bunga Raya 7s kini menumpukan perhatian kepada siri kedua yang akan berlangsung di Colombo, Sri Lanka pada 18 dan 19 Oktober depan.
