PASIR PUTEH, 30 September- Pelumba pasukan XDS-Astana, Matteo Malucelli terus cemerlang di pentas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 apabila muncul juara peringkat ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan.
Kejayaan itu sekali gus mencatatkan kemenangan keduanya dalam edisi kali ini.
Perlumbaan sejauh 198.2 kilometer itu menyaksikan Malucelli yang juga Raja Pecut itu menamatkan saingan dengan catatan masa 4 jam 28 minit 4 saat.
"“Kami tingkatkan lagi tekanan, baik ketika mendaki mahupun menuruni laluan. Mengikut perancangan, saya berada dalam kelompok lima terbaik menjelang selekoh terakhir pada jarak akhir perlumbaan.
Di saat-saat terakhir itulah saya melakukan pecutan dan berjaya mendahului pelumba lain," kata Malucelli kepada pemberita, hari ini.
Malucelli menamatkan saingan sengit dengan mendahului Alexander Kristoff (UNO-X Mobility), yang hampir menoktahkan kemenangan ke-99 dalam kariernya sebelum bersara.
Tempat ketiga podium turut menjadi milik rakan sepasukan Kristoff, Eriend Blikra, selepas perlumbaan yang menguji keupayaan pelumba pecut apabila penganjur memasukkan beberapa pendakian berkategori pada awal perlumbaan yang merentasi laluan hutan di Malaysia.
Kejayaan itu menyaksikan Malucelli kekal menyarung jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan masa terkumpul 9 jam 57 minit 59 saat, 0.16 saat di hadapan Blikra dan rakan sepasukan, Aaron Gate, yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.
Pelumba berusia 31 tahun itu juga terus mempertahankan jersi jingga selaku Raja Pecut untuk tiga peringkat berturut-turut.
Sementara itu, jersi putih selaku pelumba terbaik Asia kini menjadi milik pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Vadim Pronskiy, yang merampas kedudukan tersebut daripada rakan sepasukannya, Nur Aiman Rosli.
Bagi kategori Raja Bukit, jersi polka dot bertukar tangan apabila disarung Patrick Eddy dari Team Picnic PostNL selepas berkongsi 15 mata dengan Jambaljamts Sainbayar (Burgos-Burpellet-BH), manakala pelumba Unibet Tietema Rockets, Cedrik Bakke Christophersen, menghuni tempat ketiga dengan tujuh mata.
Peringkat keempat esok bakal menyaksikan laluan sejauh 141.5 kilometer dengan tiga zon pecutan di Marang, Dungun dan Paka serta satu zon pendakian di Kijal.